Sunday, January 1, 2012

Tragedi Berdarah Tahun Baru 2012 di UPSI


SHAH ALAM – Demonstrasi sekumpulan mahasiswa menuntut pembebasan Adam Adli Abdul Halim, yang dikaitkan dengan isu menurunkan ‘bendera’ Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lalu dan kebebasan akademik di pintu masuk utama Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) pagi tadi bertukar  menjadi peristiwa berdarah.
Polis bersama pasukan FRU menahan ketua demostrasi sehingga timbul kekecohan dengan adengan tolak-menolak, termasuk kecederaan serius terhadap Pengerusi Gerakan Penuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Safwan Anang.
Safwan terpaksa dikejarkan ke Hospital Slim River.
Kumpulan itu mengadakan perhimpunan di ibu negara pertengahan bulan lalu bagi menyerahkan memorandum kepada Suhakam dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah. Adam dilaporkan menurunkan banting berupa bendera itu selama lima minit dan kemudian dinaikkan semula di pekarangan Menara Dato’ Onn yang menempatkan ibu pejabat Umno.
Pelajar Upsi itu berhadapan dengan tekanan agar meminta maaf dan siasatan pihak berkuasa.
Difahamkan kumpulan itu cuba membawa Safwan untuk mendapatkan rawatan di klinik berdekatan dengan didakwa memecahkan pintu pusat perubatan 20 jam itu.
Namun ketiadaan doktor memaksa mereka membawanya ke Klinik Kesihatan Tanjung Malim sebelum membawanya ke Hospital Slim River.
Lebih 100 pelajar yang menyertai demonstrasi ditahan dan dibawa ke balai polis berdekatan.

Difahamkan, antara 55 ditahan termasuk 30 wanita telah dibebaskan.
Antara yang ditahan ialah Adam, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional Mohd Syahid Mohd Zaini, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia Ahmad Shukri Razab.
Kekecohan tercetus kira-kira pukul 2.25 pagi tadi apabila amaran polis untuk bersurai tidak diendahkan.
Penunjuk perasaan yang cedera dipercayai akibat ditumbuk dan ditendang. Keadaan kembali tenang sekitar 5 pagi tadi.
Usaha mendapatkan pengesahan Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Supt Md Tahir Kasim belum berhasil.
Dalam pada itu, Jingga 13 mengecam dan menyifatkannya sebagai tindakan keras polis terhadap mahasiswa.
Ketua koordinator Jingga 13 Fariz Musa berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya brutaliti dan  tindakan kejam, tidak berperikemanusiaan oleh pasukan FRU yang menangkap, membelasah dan mencederakan kumpulan aktivis dan mahasiswa di Upsi malam tadi.
“Tindakan biadap di luar kewarasan manusia ini langsung tidak dapat diterima oleh mana-mana manusia yang berakal dan ia jelas sekali melampaui batas.
“Pihak Polis yang sepatutnya menjadi tempat mahasiswa kerdil bergantung harap, meminta pertolongan dan perlindungan tergamak menjadi alat penguasa bertindak zalim,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Kata beliau, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan  Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar wajib bertangungjawab atas insiden ini.
“Jingga 13 juga mendesak agar kesemua 17 aktivis dan mahasiswa termasuk Setiausaha Jingga 13 Saifuddin Shafi Muhammad yang ditahan dibebaskan dengan segera tanpa syarat manakala mereka yang cedera wajib diberikan pampasan yang selayaknya,” katanya lagi.
Sumber : Sinarharian

No comments:

Post a Comment

IKLAN UNTUK ANDA